
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, punca utama Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan ialah kerana kekurangan peruntukan dan kecewa terhadap parti sendiri.
Dengan peruntukan sama rata, “Saya tidak dapat melihat bagaimana mereka akan mewajarkan (sokong Anwar) tanpa kelihatan seperti alat politik,” katanya kepada FMT.
Enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar setakat ini ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Ahli Parlimen terbabit sebelum ini menyatakan keperluan dan sokongan kawasan mereka terhadap dasar kerajaan persekutuan sebagai alasan untuk menyokong kerajaan perpaduan.
Pada 20 Mac, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan wakil pembangkang mengenai permintaan mereka untuk peruntukan kawasan diwakili, dengan hasilnya akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Penganalisis politik Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Ahli Parlimen pembangkang tidak mempunyai alasan lagi untuk mengisytiharkan sokongan kepada Anwar atas dasar mendapatkan dana kawasan mereka.
Sama ada peruntukan sama rata akan menyebabkan enam Ahli Parlimen itu menarik balik sokongan mereka kepada perdana menteri, Lee dan Syaza memberikan jawapan negatif.
“Tiada perbezaan atau impak yang nyata, ia tidak akan mengubah apa-apa. Mungkin ia boleh mengurangkan desakan untuk mereka mengosongkan kerusi, tetapi pada masa ini kerusi mereka selamat,” kata Syaza.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, kerajaan memerlukan bukan sekadar peruntukan untuk mengekalkan sokongan Ahli Parlimen Bersatu, mengambil contoh projek pembangunan persekutuan di kawasan mereka.
Katanya, Bersatu memerlukan peruntukan kawasan untuk menjalankan kerja lapangan jika parti itu ingin merebut peluang dalam pilihan raya umum akan datang.