Jemaah Menteri setuju mula proses pinda Akta Hasutan

Jemaah Menteri setuju mula proses pinda Akta Hasutan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata objektif bukan untuk mengetat namun bagi mengawal fenomena 3R.

Kumpulan peguam berarak pada 2014 menentang Akta Hasutan. Kumpulan sivil dan ahli politik cenderung reformasi berulang kali mendesak undang-undang itu dimansuh. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri bersetuju dimulakan proses pindaan Akta Hasutan dengan libat urus bersama polis, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya baru saja dua minggu lepas diberikan ‘green light’ oleh Kabinet untuk memulakan proses ini. Diberitahu semua perkara.

“Tapi, bukan ke arah untuk mengetatkan. Tapi ke arah bagaimana kita nak ‘invoke’ supaya keadaan di luar yang disebut sebagai fenomena 3R ini dapat kita kawal dengan menggunakan perundangan,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap.

Beliau berkata demikian ketika ditanya hos, yang juga bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin sama ada Putrajaya berhasrat menyemak semula Akta Hasutan.

Pada Julai tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata Jemaah Menteri bersetuju menyemak Akta Hasutan bagi memastikan undang-undang itu digunakan terhadap mereka yang menghina institusi diraja.

Pengumuman Azalina dibuat tidak lama selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan pembangkang terhadap kritikan terhadap Raja-Raja, sambil menyatakan tindakan seperti itu tidak boleh diterima. Perdana menteri berkata beliau tidak pernah menggunakan Akta Hasutan terhadap pengkritiknya, namun hanya akan mengambil tindakan saman atau membuat laporan polis.

Kenyataan Anwar itu menyusuk selepas Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor berdepan dua pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengulangi pendirian Anwar, menyatakan kerajaan tidak mahu menggunakan Akta Hasutan bagi tujuan politik.

“Bagaimanapun, perkara berkaitan agama dan monarki, inilah sahaja undang-undang yang kita ada,” katanya.

Katanya, sepanjang tahun lalu polis menerima 170 laporan berkait 3R, yang mana hanya tujuh didakwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.