Tiada keperluan PBT pantau harga barang, kata Nga

Tiada keperluan PBT pantau harga barang, kata Nga

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata penguatkuasaan yang dilaksanakan KPDN pada masa ini sudah berjalan dengan baik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pihak berkuasa tempatan akan memantau dan mengawal aktiviti peniaga tempatan yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing. (Gambar Facebook)
IPOH:
Tiada keperluan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menurunkan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau harga barang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata ini kerana penguatkuasaan yang dilaksanakan KPDN pada masa ini berjalan dengan baik.

“Saya yakin di bawah pimpinan Menteri KPDN Armizan Mohd Ali usaha ini akan diperhebatkan,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh semalam yang mencadangkan perkara itu supaya pemantauan harga barang dilakukan lebih kerap terutama menjelang musim perayaan.

Dalam perkembangan lain, Nga berkata pemantauan dan kawalan oleh pihak PBT dilaksanakan secara berkala bagi membanteras kesalahan peniaga tempatan yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing.

“Ramai pekerja di pasar borong adalah pekerja asing yang sah, mereka adalah pekerja dan bukannya peniaga namun kadang-kadang ia memberi persepsi seolah-olah gerai itu milik mereka tetapi sebenarnya tidak.

“Iktibarnya apabila rakyat Malaysia tidak mengambil peluang kerja dalam sektor ini, maka warga asing ada ruang dan peluang untuk ambil peluang pekerjaan, jadi kita mesti kerja keras membangunkan ekonomi negara termasuk dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar),” katanya.

Sementara itu, Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata beliau berharap kesemua Ahli Parlimen akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu hak kewarganegaraan anak bagi wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara bagi menegakkan keadilan sosial.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan akan membawa pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara ke sidang Parlimen kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.