KPM tak kompromi kes pelajar mati di asrama

KPM tak kompromi kes pelajar mati di asrama

Kementerian Pendidikan berkata ia sedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan kejadian di kolej vokasional di Sabah, semalam.

Semalam, pelajar berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Sabah yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan, semalam.

Dalam kenyataan, KPM memaklumkan tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

“KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.

“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KPM juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.

“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” menurut kenyataan itu.

Semalam, pelajar berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional di Sabah.

Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad, dilapor berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.