Ketua Pemuda PKR Sabah tiada hak bercakap bagi pihak lain, kata timbalannya

Ketua Pemuda PKR Sabah tiada hak bercakap bagi pihak lain, kata timbalannya

Remysta Taylor berkata Zaidi Jatil tidak mendapatkan pandangan 15 ketua Pemuda bahagian sebelum menyatakan sokongan kepada Pengerusi PKR Sabah Sangkar Rasam.

PKR akan membincangkan masalah dalaman parti itu di Sabah dalam satu mesyuarat esok.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Pemuda PKR Sabah, Remysta Taylor, mengecam ketua sayap parti itu dan mendakwa semua 15 ketua Pemuda bahagian tidak dibawa berbincang dalam menyatakan sokongan kepada Pengerusi PKR Sabah, Sangkar Rasam.

Pada Rabu, Ketua Pemuda PKR Sabah, Zaidi Jatil, berkata parti itu menyokong sepenuhnya Sangkar, yang berdepan desakan untuk meletakkan jawatan kerana didakwa kepimpinannya lemah.

Remysta Taylor.

Bagaimanapun, Remysta berkata, Zaidi tidak pernah berbincang dengan 15 ketua Pemuda bahagian.

“Kita belajar bahawa dalam politik, ada masanya lebih baik untuk diam,” katanya dalam kenyataan bersama dengan ketua Pemuda bahagian.

“Beliau tidak pernah berunding dengan kami dalam pergerakan Pemuda sebelum membuat kenyataan, jadi ini bermakna beliau tidak mewakili pandangan seluruh Pemuda PKR Sabah.

“Adalah tidak adil kepada 15 ketua Pemuda Bahagian jika beliau mendakwa bercakap bagi pihak pergerakan.”

Minggu lalu, 15 daripada 26 ketua bahagian negeri mendesak agar Sangkar meletakkan jawatan selepas mendakwa beliau tidak proaktif dan tidak menjalankan sebarang program latihan kepimpinan atau pilihan raya sejak menjadi ketua PKR Sabah pada Ogos 2022.

Sangkar menolak desakan itu dan menyatakan bahawa kritikan terhadap kepimpinannya telah menjejaskan perancangan bagi pilihan raya negeri seterusnya.

Ketua Wanita PKR Sabah, Noriha Yakub, juga mengeluarkan kenyataan menyokong Sangkar, yang menyebabkan beliau dituduh menyalahgunakan kuasanya oleh 15 ketua Wanita PKR Bahagian Sabah.

Remysta juga memberi amaran bahawa memihak dalam pergolakan kuasa sedang berlangsung boleh menyebabkan perpecahan dalam parti dan berkata bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga merupakan presiden PKR, adalah yang paling sesuai untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Masalah apabila memihak ialah jika sesuatu perkara berlaku, ia boleh melemahkan parti kita. Saya percaya presiden kita (Anwar) tahu cara terbaik untuk menangani pergolakan kuasa,” katanya.

“Pergolakan kuasa dalam mana-mana kepimpinan politik sentiasa berlaku, tetapi kita di sayap-sayap sepatutnya memahami kedudukan kita dan melakukan tugas kita dengan mulut yang ditutup.

“Kita berisiko menjadikan keadaan lebih buruk apabila membuta tuli memihak.”

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung sebelum ini memberitahu FMT, PKR akan membincangkan perbalahan dalaman di Sabah semasa mesyuarat majlis kepimpinan pusatnya esok, di mana ia dijangka dipengerusikan Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.