
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata jika cuaca bertukar kepada status gelombang haba, Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mengambil tindakan mengikut Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 oleh KKM dan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan oleh KPM.
“Pendedahan kepada cuaca panas berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka mempunyai penyakit kronik.
“Murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan kurang pengambilan air,” katanya dalam kenyataan.
Status gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah celcius.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan Perlis mengalami gelombang haba sejak 19 Mac lalu.
Manakala sebahagian besar Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling) dan Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta) mengalami cuaca panas Tahap 1.
METMalaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah celcius berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah hingga April ini.
Sementara itu, KKM menasihati ibu bapa memastikan anak-anak mengambil air secukupnya dan bagi mereka yang berpuasa disaran meminum air mencukupi ketika sahur dan berbuka.