59 Pati ditahan dalam Op Sapu di Kepong

59 Pati ditahan dalam Op Sapu di Kepong

Pati termasuk 22 wanita itu ditahan Jabatan Imigresen menerusi operasi di 22 unit kediaman di sebuah apartment di Kepong awal pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, 25 saman turut dikeluarkan kepada pemilik premis kerana disyaki melindungi dan membenarkan Pati menyewa. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seramai 59 pendatang tanpa izin (Pati) termasuk 22 wanita ditahan dalam Op Sapu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen ke atas 22 unit kediaman di sebuah apartment di Kepong, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata semua warga asing yang diberkas itu terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, India dan Nepal, ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Penahanan semua pendatang tanpa izin itu adalah hasil risikan selama dua minggu berdasarkan aduan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi berkenaan di sini.

Wan Mohammed Saupee berkata sebanyak 25 saman turut dikeluarkan kepada pemilik premis kerana disyaki melindungi dan membenarkan pendatang tanpa izin menyewa.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat segelintir daripada tahanan didapati menjalankan kegiatan menjual barang jenama tiruan berupa jersi secara dalam talian.

“Kita akan maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berhubung perkara ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.