
Beliau berkata ia perlu diberi keutamaan kerana projek itu dapat menghubungkan secara berkesan pedalaman Sabah dengan kawasan pertumbuhan ekonomi antaranya Kota Kinabalu dan juga Nusantara yang bakal menjadi ibu kota Indonesia.
Daerah di pedalaman itu antaranya Nabawan, Keningau, Tambunan, dan Tenom dilihat mampu memperoleh manfaat daripada pembinaan projek tersebut terutama daripada segi limpahan ekonomi untuk penduduk setempat.
“Dicadangkan projek Lebuh Raya Pan Borneo dilaksanakan secara serentak tanpa menunggu Fasa 1 atau 2 siap kerana setakat ini tiada kepastian Fasa 3 akan dimulakan dan penduduk Sabah memerlukan kemudahan ini segera.
“Sehingga hari ini, pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo masih sangat lambat dan menimbulkan kemarahan para pengguna jalan raya di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Bobbey berkata prospek perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan juga perlu difahami sebaiknya kerana ia bakal menjadi “game changer” terhadap geo-politik dan geo-ekonomi kelak.
“Ia juga bakal memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia dan Sabah khususnya tetapi bakal menjadi perhatian kuasa ekonomi dunia seperti Korea Selatan, China, dan Jepun yang selama ini menjadi pemain utama di wilayah ini.
“Tidak dinafikan perpindahan ibu negara Indonesia itu akan menjadi medan dan magnet baharu kepada pembangunan ekonomi dan geopolitik di rantau ini, justeru projek Lebuh Raya Pan Borneo penting sebagai pemangkin untuk kita meraih limpahan daripada kesan ini,” katanya.
Beliau menegaskan semua pihak harus serius bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan dan tidak membiarkan projek itu dibelenggu pelbagai masalah seperti isu pengambilan tanah, masalah kontraktor, dan sebagainya.