
Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail, dan Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata Umno kelihatan hampir-hampir mengambil kesempatan ke atas isu ini untuk politik.
Mereka menyeru semua pihak menunggu hasil siasatan ke atas perkara ini, dan mengingatkan bahawa hukuman bagi pihak yang bersalah seharusnya ditentukan oleh pihak berkuasa, bukannya Umno.
Mereka juga menggesa rakyat abaikan seruan boikot KK Mart daripada Akmal dalam isu ini.
“Kami amat kecewa dan meluat dengan Umno, yang pernah selamatkan negara daripada gabungan politik ekstrem. Kami sangat berharap Umno perbaiki diri tetapi sekarang kami ragu-ragu Umno boleh jadi rakan yang baik dalam kerajaan perpaduan,” kata mereka dalam kenyataan.
Kontroversi tercetus susulan penularan gambar di media sosial, memaparkan stoking tertera kalimah Allah di sebuah kedai KK Mart. Kilang yang terbabit dengan kontroversi ini menutup operasi, manakala KK Mart memohon maaf atas kejadian itu.
Terdahulu, kepimpinan Umno mengisytiharkan ia menyokong penuh pendirian Akmal berhubung isu penjualan stoking ini, di sebalik kritikan daripada MCA dan DAP berkenaan seruan boikot.