Tukaran nilai ringgit menerusi Google kini perlu langkah tambahan

Tukaran nilai ringgit menerusi Google kini perlu langkah tambahan

Widget enjin carian itu tidak lagi tersedia serta-merta bagi tukaran mata wang daripada atau kepada ringgit.

Apabila carian dibuat untuk penukaran mata wang daripada atau kepada ringgit, Google akan mencadangkan senarai laman web penukaran mata wang, dan bukan widget.
PETALING JAYA:
Widget penukaran mata wang Google untuk ringgit tidak lagi tersedia serta-merta bagi pengguna enjin carian itu.

Semakan FMT hari ini mendapati apabila carian dibuat bagi penukaran mata wang daripada atau kepada ringgit, widget itu tidak lagi muncul secara automatik.

Sebaliknya, enjin carian itu akan mencadangkan senarai laman web penukaran mata wang. Carian “kadar tukaran USD-MYR” turut menghasilkan keputusan sama.

Perkara sama tidak berlaku bagi mata wang lain, dengan nilai tukaran USD23 kepada AUD, contohnya, akan dipaparkan dengan serta-merta menerusi widget itu.

Bagaimanapun, jika tukaran mata wang lain dibuat menerusi widget itu, pilihan untuk ringgit masih tersedia dalam menu ke bawah.

Enjin carian itu baru-baru ini berdepan masalah dengan Bank Negara Malaysia (BNM) disebabkan pelaporan “tidak tepat” mengenai kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS.

Bank pusat itu berkata, kadar tukaran RM4.98 kepada USD1 dilaporkan oleh Google tidak menggambarkan dagangan sebenar, dan pihaknya akan menghubungi Google untuk mendapatkan penjelasan serta langkah pembetulan.

“Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada 2024. BNM telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Feb 2024.

“Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku,” kata BNM dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.