
Selama tempoh itu hampir 95% aktiviti perniagaan tidak beroperasi dan deretan rumah kedai ditutup rapi.
Hanya beberapa pasar raya dan pasar basah dibuka, namun apabila tiba waktu solat Jumaat, semua premis ditutup selama dua jam.

Peniaga sayur, Syarifah Abdul Rahim, berkata penduduk Jerteh menerima keadaan itu sebagai menghormati Jumaat sebagai penghulu segala hari.
“Setiap Jumaat kita akan tutup dua jam dan pada masa itu kita memang tidak akan menjalankan sebarang perniagaan.
“Saya dari kecil sampai sekarang sudah biasa dengan keadaan begini,” katanya kepada FMT.
Bagi penjawat awam, Saiful Bahri Hussain, masyarakat setempat bukan sahaja menerima seadanya malah berbangga dengan keunikan itu.

“Sejak turun temurun bermula datuk nenek moyang kita lagi, memang suasana begini.
“Kita tidak rasa menyusahkan sebab Jumaat hari untuk kita berehat setelah penat bekerja selama seminggu. Jumaat adalah hari bersama keluarga,” katanya.
Namun, “pekan mati” itu kembali meriah bermula lewat petang dan pada malamnya aktiviti perniagaan berlangsung seperti biasa.
Ketika itu, pekan Jerteh ibarat syurga makanan dan pengunjung akan datang bertali arus sehingga lewat malam.

Apa yang menarik, fenomena “Jumaat penghulu segala hari” turut diterima baik penduduk bukan beragama Islam.
Peniaga hanya ingin dikenali sebagai Ah Seng berkata, jika dipandang dari sudut untung rugi memang ada kesan tertentu, namun komunitinya menerima dan akur Jumaat adalah hari rehat.

“Saya rasa tutup (perniagaan) pun tak apalah sebab orang sudah boleh terima. Pengunjung pun tak ramai datang ke pekan.
“Ada saja yang buka kedai, tak ada larangan pun, cuma waktu solat Jumaat itu wajib tutup kedailah sekejap. Lepas solat, kita buka balik,” katanya.