Mangsa banjir di Pahang, Terengganu makin kurang

Mangsa banjir di Pahang, Terengganu makin kurang

3,146 mangsa masih ditempatkan di PPS di kedua-dua negeri setakat petang ini.

Daerah Kuantan di Pahang masih mencatat bilangan mangsa banjir tertinggi, iaitu 1,986 orang yang berada di 19 PPS. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Terengganu terus mencatatkan penurunan apabila 3,146 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri, setakat petang ini.

Di Pahang, situasi banjir di Rompin yang semakin pulih menyaksikan jumlah mangsa terjejas berkurangan kepada 2,575 mangsa daripada 859 keluarga yang ditempatkan di 33 PPS setakat 4.25 petang berbanding 4,873 mangsa daripada 1,655 keluarga di 41 PPS pada pagi tadi.

Berdasarkan aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan masih merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,986 orang yang berada di 19 PPS.

Sementara itu, 430 orang ditempatkan di enam PPS di Pekan; 69 orang di tiga PPS di Bera; 35 orang di dua PPS di Temerloh; 35 orang di satu PPS di Maran; dan 20 orang di dua PPS di Jerantut

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman menurun kepada 571 orang daripada 155 keluarga setakat 4 petang tadi, berbanding 921 orang daripada 246 keluarga pada 9 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, semua mangsa di daerah itu kini berlindung di sebuah PPS iaitu SK Bukit Mentok.

Dua PPS, masing-masing SK Binjai dan SK Chukai, ditutup tengah hari tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.