Bendung kartel tipuan bida, KBS jalin kerjasama dengan MyCC

Bendung kartel tipuan bida, KBS jalin kerjasama dengan MyCC

Tawaran daripada syarikat atau kontraktor yang menyertai tender akan diteliti sama ada bebas daripada 'collusion', kata Hannah Yeoh.

Hannah Yeoh menekankan, memandangkan peruntukan KBS kecil, setiap penjimatan penting agar dana dapat digunakan untuk pembangunan sukan dan menaik taraf kemudahan.
PUTRAJAYA:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam usaha membendung kartel tipuan bida melibatkan tender bawah kementerian itu bagi penjimatan kos.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, tawaran daripada syarikat atau kontraktor yang menyertai tender dan sebut harga juga akan diteliti sama ada bebas daripada kartel tipuan bida (collusion), selain aspek teknikal dan kewangan bagi mengelakkan ketirisan.

“KBS mahu mengingatkan pihak syarikat atau kontraktor supaya membuat pengisytiharan ‘non-collusion’ dan tidak terlibat dalam sebarang pakatan harga semasa menyertai mana-mana perolehan. Kita tidak mahu kos meningkat kerana isu kartel ini,” katanya pada sidang media di Menara KBS.

“Sekiranya jawatankuasa berasa ada yang tak kena dalam bidaan, MyCC akan diaktifkan (dan) meneliti kenapa semua bidaan ini harga dan butiran lain hampir sama kerana kita nak proses ini telus, serta kerja itu diberi kepada pihak yang betul-betul mampu melaksanakannya.”

Beliau berkata, tiga fokus utama kerjasama itu ialah advokasi antipersaingan, nasihat polisi daripada MyCC, dan perkongsian maklumat serta pelaporan kes disyaki pelanggaran mengikut Akta Persaingan 2010 untuk siasatan lanjut.

Yeoh berkata, memandangkan peruntukan untuk KBS kecil, setiap penjimatan penting agar dana dapat digunakan untuk pembangunan sukan dan menaik taraf kemudahan bawah kementerian itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa syarat sama diguna pakai bagi persatuan sukan dan syarikat dalam permohonan Geran Padanan Sukan (GPS) untuk penganjuran pertandingan sukan pada peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Dalam jawatankuasa (GPS) juga kita sedang memerhatikan trend permohonan supaya tiada kartel. Jika ada, KBS, akan melaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Seperti yang saya katakan, tahun ini ialah tahun pembersihan, tahun lepas ada pembaharuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata, pihaknya boleh mengenakan penalti 10% daripada pendapatan tender atau menyarankan kepada Kementerian Kewangan untuk menyenarai hitam syarikat untuk tempoh beberapa tahun jika didapati bersalah.

“Kartel tipuan bida ini banyak berlaku di Malaysia, kami sedang menyiasat lebih 500 syarikat melibatkan tender melebihi RM3 bilion. Jadi, kami berharap agar pihak berkenaan, terutamanya kementerian lain dapat memberi kerjasama seperti KBS,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh lapan syarikat telah dikenakan denda sebanyak RM1.5 juta kerana kesalahan bersekongkol menipu dalam bidaan projek Teknologi Maklumat (IT) melibatkan RM2 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.