Tangani punca untuk bendung pembuangan bayi, kata aktivis

Tangani punca untuk bendung pembuangan bayi, kata aktivis

NGO berkata menghukum ibu muda tidak membawa sebarang kesan positif.

Peti ‘baby hatch’ mesti diletakkan di lokasi strategik bagi membolehkan ibu yang melahirkan anak mendapat akses penjagaan perubatan betul, kata aktivis, Ajeet Kaur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menyokong gesaan supaya wanita membuang anak tidak didakwa kerana pemahaman lebih mendalam diperlukan untuk mengetahui punca seorang ibu sanggup mengabaikan anaknya bagi menangani isu itu.

Sharmila Sekaran, Pengerusi Voice of the Children, juga berkata pendekatan hukuman terbukti tidak berkesan.

“Satu sebab adalah kemiskinan atau tidak mampu menjaga bayi. Faktor signifikan lain termasuk ketakutan, stigma sosial dan kemurungan selepas bersalin, khususnya jika tidak menerima sokongan.

“Bagi membendung kejadian ibu mengabaikan bayi dengan berkesan, kita mesti memahami punca di sebaliknya dan memastikan mereka menerima sokongan, sebelum dan selepas melahirkan anak,” katanya kepada FMT.

Sharmila Sekaran.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii menggesa kerajaan membangunkan sistem lebih berperikemanusiaan bagi menangani punca di sebalik pembuangan bayi, dengan memfokuskan pemulihan terhadap pesalah.

Wakil rakyat DAP itu berkata, walaupun hukuman berat selalunya dilihat cara mencegah pembuangan bayi, ia sebenarnya tidak membantu.

Sharmila turut menggesa kerajaan mempercepatkan Rang Undang-undang (RUU) Profesion Kerja Sosial kerana kekurangan pekerja sosial mengakibatkan ramai wanita tidak menerima penjagaan, perlindungan dan sokongan diperlukan.

“RUU yang sudah lama tertangguh ini patut diberi keutamaan,” katanya.

RUU Profesion Kerja Sosial kali pertama didraf pada 2010, tetapi belum dibentangkan di Parlimen.

Awal minggu ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri memaklumkan Dewan Rakyat mengenai cadangan memasukkan penubuhan majlis profesional dalam draf RUU itu, tetapi tidak menyatakan bila RUU itu akan dibentangkan di Parlimen.

Ajeet Kaur.

Ajeet Kaur, Pengerusi Bersama Child Rights Innovation and Betterment berkata, keutamaan patut diberikan kepada lokasi banyak berlaku pembuangan bayi bagi membolehkan kemudahan “baby hatch” diletakkan secara strategik serta mewujudkan kesedaran awam.

“Kita memerlukan ‘baby hatch’ yang diletakkan di kedudukan lebih strategik, memandangkan ibu baru bersalin sering tiada akses penjagaan perubatan betul,” katanya sambil menambah si ibu sering kemurungan selepas bersalin dan memerlukan sokongan psikologi, bukannya tindakan jenayah atau hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.