Simpan 50 sumbu badak, 2 rakan mengaku salah

Simpan 50 sumbu badak, 2 rakan mengaku salah

Dua lelaki itu didakwa kerana menyimpannya tanpa permit khas.

Mahkamah Sesyen Sepang menetapkan 24 April untuk fakta kes dan jatuh hukum. (Gambar Pexels)
KUALA LUMPUR:
Dua rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dua pertuduhan menyimpan 50 unit sumbu badak sumbu, hidupan liar dilindungi tanpa permit khas, tiga tahun lalu.

Mohamad Sukry Wahab, 29, dan Muhammad Hafiszan Naser, 29, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa bersama-sama menyimpan tanpa permit khas 49 unit sumbu ‘square-lipped rhinoceros’ (Ceratotherium simum) dan satu unit sumbu ‘black rhinoceros’ (Diceros bicornis) iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam lori di tepi jalan, bulatan masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 9.15 malam, 9 Sept 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 68(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 24 April ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhilitan Cheras Wan Nur Muhammad Ehsan, manakala kedua-dua OKS diwakili peguam Aqeeb Lizalman dan Abdul Aziz Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.