
Hakim Amarjeet Singh berkata, perkara itu – siasatan pengubahan wang haram – tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Kuasa mengeluarkan perintah pembekuan sebahagian daripada proses siasatan jenayah,” katanya.
Tiada arahan mengenai kos. Peguam Rafique Rashid Ali mewakili Aman Palestin, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Irmawatie Daud mewakili SPRM.
Aman Palestin cuba membatalkan keputusan SPRM membekukan akaunnya atas alasan menyalahi undang-undang.
NGO itu mendakwa pegawai yang menandatangani perintah pembekuan itu tiada kuasa berbuat demikian.
Aman Palestin turut mendakwa perintah pembekuan itu dikeluarkan dengan niat jahat dan merupakan cubaan untuk menghalang bantuan kewangan sampai ke Gaza.
“Disebabkan perintah pembekuan itu, Aman Palestin tidak boleh membayar perbelanjaan operasi harian,” kata NGO itu.
SPRM membekukan dana Aman Palestin dan beberapa entiti lain tahun lalu dalam siasatannya atas dakwaan penyelewengan RM70 juta oleh NGO itu.
Agensi antirasuah itu berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Keseksaan.
Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin pula dilaporkan meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis tidak membanarkan Aman Palestin mengutip derma kerana bimbang terhadap pengagihan dananya.
Bulan lalu, dua eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman dan Awang Suffian Awang Piut, bersama seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah serta penipuan.