Mahkamah tertinggi sahkan sabitan remaja bunuh 23 penghuni tahfiz

Mahkamah tertinggi sahkan sabitan remaja bunuh 23 penghuni tahfiz

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sabitan oleh hakim perbicaraan selamat berdasarkan semua keterangan.

Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap seorang remaja yang kini berusia 22 tahun atas kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tujuh tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap seorang remaja membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran hampir tujuh tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berkata, sabitan oleh hakim perbicaraan selamat berdasarkan semua keterangan dikemukakan.

“Oleh itu, kami mengesahkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang dikekalkan Mahkamah Rayuan,” katanya ketika menolak rayuan itu.

Beliau bersidang bersama Hakim Hasnah Hashim dan Nordin Hassan.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Azman Abdullah, yang kini bersidang di Mahkamah Rayuan, memerintahkan perayu (dikenal pasti dalam prosiding sebagai “PKK1”), kini 22 tahun, kekal ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Maimun berkata, hakim perbicaraan berhak ke atas dapatannya berdasarkan kredibiliti dua saksi kanak-kanak, dikenal pasti “SP68 dan “SP69”, yang memberi keterangan dalam perbicaraan.

“Hakim perbicaraan juga membuat dapatan keterangan ikut keadaan (yang dikemuka ketika bicara) mencukupi untuk mensabitkan perayu,” katanya.

Dalam keputusan berkenaan, Azman berkata beliau mendapati “PKKI” mempunyai niat melakukan khianat yang membawa kepada kematian.

Perayu bagaimanapun berhujah keterangan ikut keadaan dikemuka tidak cukup kuat untuk mensabitkannya dan notis alibi juga menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Namun, Tengku Maimun menolak hujah perayu dengan menyatakan hakim perbicaraan berhak bergantung kepada keterangan “SP68” dan “SP69”, keduanya tidak menunjukkan motif jahat.

Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pendakwaan terhadap remaja kedua, dikenali “PKK2” – yang dibebaskan pada penutupan kes pendakwaan – untuk diperintah membela diri. Pihak pendakwaan tidak merayu keputusan tersebut.

Kedua-duanya, ketika kejadian berusia 16 tahun dan individu tidak dikenali, dituduh melakukan kesalahan berkenaan di asrama sekolah tahfiz, antara 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berada di Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kes pendakwaan menyatakan dua tertuduh dan individu tidak dikenali itu melompat masuk menerusi pagar asrama dan menyalakan api asrama terbabit menggunakan petrol dan dua tong gas.

Peguam Haijan Omar hari ini berhujah tiada keterangan memaparkan “PKK1” membawa botol petrol.

“Tiada kesan petrol di lokasi jenayah. Terdapat jurang material dalam kes pendakwaan dan keterangan mengikut keadaan mereka lemah,” kata Haijan yang dibantu Asyraaf Abu Bakar.

Haijan berkata, alibi anak guamnya juga tidak pernah disiasat polis.

Katanya, PKK1, yang keciciran sekolah, hanya melalui berdekatan sekolah untuk menghisap ganja dan tidak berupaya melakukan jenayah sofisikated seperti itu.

Beliau berkata, tiada motif dibentuk bagi jenayah berkenaan dan tiada keterangan membuktikan ia direncanakan.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah bahawa terdapat keterangan mengikut keadaan kuat dan tidak dapat ditolak
untuk pembuktian kes pendakwaan.

“SP68 melihat perayu melompat masuk melalui pagar asrama sekolah,” katanya.

Katanya, “SP69” juga melihat “PKK1” terdahulu berdekatan lokasi, antara 2.30 pagi dan 3 pagi.

“SP68 dan SP69 kenal pasti PKK1 dan mereka mengetahui perilakunya,” katanya sambil menambah saksi dan perayu cukup mengenali antara satu sama lain.

How, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar dan Aida Khairuleen Azli, berkata “SP68” dan “SP69” tidak mempunyai motif untuk memfitnah “PKK1”.

Katanya, “SP69” juga mendengar “PKK1” bertanya seorang lagi individu (SP70), “Bila sekolah itu mahu dibakar?”

Lelaki itu menjawab: “Beli petrol dulu lah.”

“Walaupun tiada sesiapa melihat siapa memulakan api, perbualan berkenaan mempunyai nilai kebarangkalian,” kata Tengku Maimun sambil menambah “PKK1” juga membawa polis kepada penemuan pemetik api yang dikatakan digunakan bagi memulakan api.

Sebelum ini, di Mahkamah Rayuan, Che Ruzima Ghazali berkata hakim perbicaraan dengan ketelitian berhati-hati melihat rakaman CCTV dari pusat snooker, kiosk petrol, premis Persatuan Pengguna Muslim Malaysia, dan sekolah tahfiz itu sendiri, selain meninjau lokasi jenayah semasa perbicaraan.

Che Ruzima juga berkata, pembelaan dikemukan “PKK1” hanyalah penafian semata-mata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.