Lesen operasi syarikat edar stoking kalimah Allah dibatalkan

Lesen operasi syarikat edar stoking kalimah Allah dibatalkan

MPBP berkata, pihaknya membatalkan lesen operasi syarikat itu kerana melanggar syarat aktiviti lesen perniagaan yang diluluskan, iaitu stor dan pengedar kasut.

Kilang Xin Jian Chang Sdn Bhd di kawasan perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, menutup operasinya sehari selepas serbuan pihak berkuasa yang menemukan lima pasang stoking tertera kalimah Allah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah membatalkan lesen operasi syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd yang terlibat dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata tindakan berkenaan selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 13(2) dan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPBP) 2016.

“Ia dibuat atas pelanggaran syarat aktiviti lesen perniagaan yang diluluskan MPBP iaitu stor dan pengedar kasut,” katanya dalam kenyataan.

Notis diserahkan Yang Dipertua MPBP Ezahar Abu Sairin kepada Pengarah Urusan Xin Jian Chang Soh Hui San.

Semalam, kilang syarikat itu yang terletak di kawasan perindustrian Sri Gading menutup operasinya sehari selepas serbuan pihak berkuasa yang menemukan lima pasang stoking tertera kalimah Allah.

Satu kain rentang digantung di pintu utama kilang itu, memaklumkan tentang penutupan operasi serta mengandungi permohonan maaf kepada rakyat Malaysia “atas kejadian berkaitan sarung kaki yang memaparkan perkataan sensitif yang tidak disengajakan”.

Xin Jian Chang Sdn Bhd dilaporkan sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dari China berhubung stoking itu yang dibekalkan kepada KK Mart.

Syarikat itu menjelaskan pihaknya telah menghubungi pembekal berkaitan dan dimaklumkan bahawa stoking yang mencetuskan kontroversi itu termasuk dalam stok yang dibekalkan secara tidak sengaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.