Ketepatan program ramalan banjir negara 62%, Petra jawab PAC

Ketepatan program ramalan banjir negara 62%, Petra jawab PAC

Semalam PAC berkata RM129 juta dibelanja bagi program itu dalam fasa 1 tidak berbaloi kerana tidak dapat ramal aras air, masa dan lokasi banjir dengan tepat.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ketepatan ramalan dan amaran banjir mengikut kawasan atau HIT sejajar julat ketepatan global 50% hingga 70%. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) bernilai RM129 juta berbaloi dilaksanakan dengan keberkesanan sebenar keseluruhan 62.1%, sekali gus mengurangkan impak kerugian di lokasi terjejas.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan berkata, radius kawasan dilengkapi PRAB sekitar 5km daripada 183 kawasan diberi amaran juga mendapat manfaat.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, memaklumkan RM129 juta dibelanjakan bagi PRAB Fasa 1 tidak berbaloi kerana ia tidak dapat meramal aras air banjir serta masa dan lokasi banjir dengan tepat.

Mengulas hal itu, Petra mengalu-alukan syor dikemukakan PAC dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan maklumat tepat diterima orang awam berhubung PRAB.

Menurut kenyataan itu, kos RM129 juga program tersebut antaranya bagi tujuan membangunkan infrastruktur dan sistem bagi pelaksanaan PRAB di lembangan Sungai Terengganu, Kelantan, dan Pahang oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Ini termasuk pembinaan 347 stesen hidrologi telemetri, pemasangan 132 buah siren dan sistem pemodelan banjir. Data hidrologi dari stesen-stesen ini dipaparkan di laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my/ sebagai makluman awal banjir kepada agensi pengurusan bencana dan orang ramai.

“Data ini juga digunakan oleh agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan badan pengurusan air negeri berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.

Petra menjelaskan PRAB mampu menghasilkan ramalan banjir tujuh hari ke depan dengan menggunakan data hujan diramalkan oleh METMalaysia.

“Sebelum program ini dilaksanakan, kawasan pantai timur hanya memiliki dua model ramalan banjir yang berdasarkan model konvensional tanpa informasi ketepatan ramalan dan amaran banjir mengikut kawasan atau HIT yang yang spesifik,” katanya.

Katanya, tahap pencapaian HIT di peringkat global berada dalam julat 50% hingga 70%.

“Ketepatan ini dipengaruhi oleh faktor-faktor pembolehubah seperti taburan hujan, angin, tekanan udara, dan suhu persekitaran mengikut masa dan ruang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.