
Majistret S Punitha membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz untuk memindah dan membicarakan kes itu di mahkamah tinggi mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi bagaimanapun belum diputuskan, lapor Harian Metro.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang berpangkat deputi superintendan (DSP) hadir ke mahkamah hari ini dengan berjaket penutup kepala warna gelap dan memakai pelitup muka, sambil dikawal ketat anggota polis.
Pada 18 Dis lalu, Nazri dituduh menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, dekat SMK Jati, Meru antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari 15 Dis lalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Saiful Akmal Mod Said mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Cindy Wong Xin Tian mewakili tertuduh. Zamri Idrus menjadi peguam pemerhati keluarga mangsa.
Keluarga terdekat mangsa, termasuk abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, selain bapa saudara, Abdul Razak Judin, 49, turut hadir dalam kamar mahkamah.