
Menyifatkan tuduhan Ahli Parlimen Tasek Gelugor sebagai fitnah, Azizi berkata tidak pernah mengajaknya berunding dan membuat sebarang tawaran kepada rakannya daripada Bersatu itu.
Jelas Azizi, sebaliknya Wan Saiful terserempak dengannya ketika sedang minum di kafe sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Dakwa Azizi yang juga Adun Nenggiri, Wan Saiful bertanya apakah keistimewaan diperolehnya selepas menyokong Anwar dan adakah kes mahkamah dihadapinya boleh digugurkan jika mengikut jejak langkah itu.
Wan Saiful, bekas ketua penerangan Bersatu berdepan perbicaraan di mahkamah bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.
“Saya hanya jawab saya dapat peruntukan sama dengan Ahli Parlimen kerajaan dan soal kes mahkamahnya bukan bidang kuasa saya untuk memberi apa-apa jawapan atau jaminan,” kata Azizi kepada FMT.
Terdahulu, Wan Saiful mendedahkan identiti dua Ahli Parlimen yang didakwa cuba mempengaruhinya untuk menyokong kerajaan pimpinan Anwar.
Wan Saiful memberitahu Dewan Rakyat, dua Ahli Parlimen itu antara enam wakil rakyat mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar tahun lalu.
Dakwanya, tawaran dibuat seorang daripada Ahli Parlimen itu dan dua lagi individu pada 17 Jan lalu, termasuk peruntukan RM2 juta, bayaran untuk perbelanjaan perubatan isterinya, jumlah token tidak dinyatakan bagi menampung yuran guaman kes mahkamahnya serta kemungkinan menggugurkan pertuduhan terhadapnya.
Beliau turut mendakwa, seorang lagi Ahli Parlimen dikatakan membantu memperkenalkan seorang individu pada 26 Feb lalu berhubung cadangan mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong.
FMT memilih tidak mendedahkan nama mereka.
Bagaimanapun, Berita Harian melaporkan nama dua wakil rakyat itu adalah Azizi dan Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi.
Sementara itu, Zulkafperi dalam mesej ringkas kepada FMT turut menafikan dakwaan Wan Saiful dan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan berniat jahat”.
“Saya akan jawab di Dewan Rakyat Isnin depan,” katanya.
Selain Azizi dan Zulkafperi, empat lagi Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).