
Presiden Matta Nigel Wong berkata, langkah memperkenalkan fi pemindahan akan menjadikan Malaysia destinasi transit yang kurang menarik bagi syarikat penerbangan.
Katanya, dengan kegiatan promosi negara, penumpang transit boleh ditarik menjadi pelancong, sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan tempatan.
“Pelancongan bukan hanya tentang produk pelancongan di negara ini. Ia mengenai pergerakan penumpang secara keseluruhan.

“Memandangkan caj ini juga terpakai bagi penumpang transit, ia boleh menjejaskan kesediaan syarikat penerbangan mempertimbangkan Malaysia sebagai hab transit.
“Hal ini seterusnya boleh mengurangkan penukaran penumpang transit kepada pelancong,” kata Wong kepada FMT.
Beliau berkata, negara-negara yang mempunyai kemudahan lebih baik seperti Singapura, atau negara yang tidak mengenakan fi pemindahan seperti Thailand, akan mempunyai kelebihan daya saing mengatasi Malaysia.
Pada 12 Mac, FMT melaporkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan menaikkan PSC bagi penerbangan antarabangsa ke negara Asean, berkuat kuasa 1 Jun.
Mavcom turut memperkenalkan PSC bagi penumpang yang transit melalui lapangan terbang Malaysia.
Penumpang domestik akan dikenakan caj RM7 untuk pemindahan melalui lapangan terbang Malaysia, manakala penumpang antarabangsa akan dikenakan caj RM42 untuk pemindahan melalui Terminal 1 KLIA, dan RM29 untuk pemindahan melalui Terminal 2 atau lapangan terbang lain.
Sementara itu, Pengerusi Consortium of Inbound Tourism Alliance Uzaidi Udanis berkata, PSC perlu dinaikkan untuk meningkatkan daya saing lapangan terbang Malaysia.
Memetik penggantungan perkhidmatan aerotrain KLIA sebagai contoh, beliau berkata, lapangan terbang Malaysia ketinggalan berbanding pesaingnya.

“Pengenalan PSC tidak akan menjejaskan pelancongan masuk kerana kadarnya tidak besar berbanding jumlah tambang,” katanya.
“Bagaimanapun, hasil daripada PSC perlu dilaburkan semula dalam naik taraf lapangan terbang untuk menambah baik industri penerbangan dan menjamin kecekapan operasi lapangan terbang,” katanya kepada FMT.