Mufti Perlis antara 10 ‘individu berkepentingan’ dalam kehilangan Amri

Mufti Perlis antara 10 ‘individu berkepentingan’ dalam kehilangan Amri

Pegawai polis Awaluddin Jadid, Razman Ramli dan Wan Nasirudin Pa'Wan Teh juga dinamakan dalam laporan pasukan petugas khas siasat kehilangan aktivis Amri Che Mat.

Mufti Perlis Asri Zainul Abidin (kiri) dinamakan ‘individu berkepentingan’ dalam kehilangan aktivis Amri Che Mat.
KUALA LUMPUR:
Pasukan petugas khas menamakan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin dan sembilan yang lain sebagai “individu berkepentingan” dalam kehilangan aktivis Amri Che Mat.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu Mahkamah Tinggi dalam saman terhadap polis dan kerajaan bahawa identiti 10 individu itu didedahkan pasukan petugas khas dalam laporannya susulan inkuiri.

Katanya, laporan itu juga menamakan bekas ketua penolong pengarah Cawangan Khas, Awaluddin Jadid dan dua polis, Razman Ramli serta Wan Nasirudin Pa’Wan Teh.

Razman dan Nasirudin antara lain turut dinamakan Norhayati dalam samannya.

“Pasukan petugas khas berkata kehilangan Amri ‘kemungkinan berpunca daripada tindakan langsung dan tidak langsung daripada pegawai polis tidak bertanggungjawab, yang bertindak berseorangan atau dalam perkumpulan (bersama) pertubuhan agama’.

“Pasukan petugas khas menyebut mereka ini boleh membantu siasatan,” kata Norhayati.

Norhayati memfailkan saman pada 2019 terhadap kerajaan dan 20 yang lain berhubung tindakan Kementerian Dalam Negeri dan polis dalam siasatan terhadap kehilangan suaminya pada 2016.

Senarai defendan juga melibatkan bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun.

‘Suspek utama’

Norhayati juga berkata, bahawa laporan menamakan Saiful Bahari Abdul Aziz sebagai berpotensi menjadi saksi utama dalam kehilangan Amri.

“Pasukan petugas khas berkata polis gagal menjadikan Saiful sebagai suspek utama dan gagal menjejakinya.

“Mereka menyebut Cawangan Khas Bukit Aman tidak memberi kerjasama penuh kepada pasukan petugas khas bagi mendapatkan maklumat berhubung Saiful,” katanya.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin memohon mahkamah tidak membenarkan orang awam hadir prosiding hari ini atas alasan laporan petugas khas masih diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.

Bagaimanapun, peguam Norhayati, Malik Imtiaz Sarwar berkata satu lagi Mahkamah Tinggi tidak menyebut sebarang sekatan ketika memberikan akses terhad kepada dokumen tersebut.

“Perintah itu berkata pemberita dibenar membuat liputan prosiding apabila laporan berkenaan digunakan bagi menyoal saksi, namun mereka tidak akan diberikan salinan,” katanya.

Hakim Su Tiang Joo, berkata beliau berpandukan keputusan Mahkamah Tinggi terbabit dan membenarkan wartawan dan orang awam hadir ketika prosiding berlangsung.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.