
Rafique Rashid Ali berkata adalah tidak adil untuk timbalan perdana menteri dan mahkamah menunggu apabila representasi dihantar 14 bulan lalu.
“Ia memberi gambaran buruk kepada peguam negara, yang juga pendakwa raya, untuk enggan mengambil pendirian mengenai rayuan dan representasi responden,” katanya kepada FMT.
Rafique mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin untuk memberi Terrirudin enam bulan lagi untuk memutuskan representasi itu, termasuk representasi kedua yang dihantar bulan lepas.
Rafique, bekas pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam, berkata dalam kes lain, representasi akan ditangani dengan pantas.
“Sebagai penjaga kepentingan awam, peguam negara sepatutnya bertindak tanpa rasa takut atau memihak dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Pada 23 Sept 2022, Hakim Yazid Mustafa, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, membebaskan Zahid daripada semua 40 pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Seorang lagi peguam, Salim Bashir, berkata Terrirudin, yang merupakan peguam cara negara sejak Mac 2022 sebelum dilantik sebagai peguam negara September lalu, pasti mengetahui sejarah kes itu, termasuk representasi pertama Zahid.
Beliau berkata Terrirudin boleh mendapatkan pandangan timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan, untuk membuat keputusan.
Salim, bekas presiden Majlis Peguam, berkata representasi itu mungkin telah dilupuskan lebih awal kerana rekod rayuan, termasuk alasan penghakiman, telah disediakan pada Disember 2022.
Beliau berkata walaupun Terrirudin menerima representasi itu, tiada undang-undang mewajibkan beliau memberikan alasannya, melainkan kebijaksanaannya menetapkan bahawa beliau patut memberikannya.
Salim berkata sudah tiba masanya Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan untuk merangka garis panduan dalaman, seperti garis masa, untuk menjawab representasi tertuduh atau responden.
Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama Hakim Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah, berkata penangguhan pada Isnin adalah penangguhan terakhir.
Beliau menetapkan pendengaran pada 6 Sept dan melahirkan rasa kurang senang berbuat demikian, sambil berkata dirinya elah menghabiskan beberapa hari membaca nota prosiding Mahkamah Tinggi sebagai persediaan.
Peguam utama Zahid Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan itu, berkata representasi kedua telah dikemukakan kepada Kamar pada 7 Feb.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan lima penangguhan kepada pihak pendakwaan untuk membolehkan peguam negara memutuskan sama ada untuk meneruskan rayuan. Pada Disember tahun lepas, ia menetapkan 18 Mac sebagai tarikh rayuan.
Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd antara 2014 dan 2018 semasa beliau menjadi menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Dia juga didakwa dengan tujuh pertuduhan lain iaitu mendapatkan untuk dirinya sendiri sejumlah SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss franc (RM79,856) dan ASD15,000 (RM70,995) daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.