Kedaulatan Batu Puteh: Kontraktor gagal hidup semula saman terhadap kerajaan

Kedaulatan Batu Puteh: Kontraktor gagal hidup semula saman terhadap kerajaan

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hatta Sanuri untuk kebenaran merayu pembatalan samannya terhadap Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan.

Peguam Mohaji Selamat (kiri), Asyraf Tasrib dan Hatta Sanuri (kanan) di Mahkamah Persekutuan hari ini.
PUTRAJAYA:
Pertikaian undang-undang selama tiga tahun antara seorang kontraktor dengan kerajaan atas penarikan balik permohonan menyemak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Batu Puteh telah selesai.

Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan sebulat suara menolak permohonan Hatta Sanuri untuk mendapatkan kebenaran merayu agar samannya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan dihidupkan semula.

Saman itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dua tahun lepas.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, permohonan kebenaran itu tidak mempunyai merit kerana undang-undang berkaitan locus standi dan kebolehadilan telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah tertinggi dalam banyak kes sebelum ini.

Beliau juga berkata, undang-undang bagi isu berkaitan tort salah guna kuasa jawatan awam dan kecuaian juga telah diputuskan.

“Kami mendapati pemohon (Hatta) gagal melepasi ambang mendapatkan kebenaran bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya merujuk kepada lima persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Panel tersebut, yang turut dianggotai Hakim Nordin Hassan dan Abdul Karim Abdul Jalil, tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Hatta memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan bahawa beliau tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang untuk memfailkan tindakan terhadap Mahathir dan kerajaan, yang dinamakan sebagai responden.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan pada 15 Nov tahun lepas bahawa saman Hatta menyalahgunakan proses mahkamah dan tuntutannya tidak boleh diadili.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2022, yang membatalkan saman itu atas permohonan responden.

Hatta memfailkan saman itu pada 2021, mendakwa beliau terjejas dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu menarik balik semakan yang difailkan dua tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kerajaan tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai penarikan balik permohonan itu, memandangkan wujudnya “keterangan baharu” yang menurutnya memihak kepada usaha Malaysia untuk membatalkan keputusan ICJ.

Beliau memohon deklarasi mahkamah agar kerajaan membayar pampasan RM10 juta kepada setiap rakyat Malaysia berhubung keputusan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili kerajaan dan perdana menteri, manakala Mohaji Selamat dan Asyraf Tasrib mewakili Hatta selaku peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.