
Ia susulan laporan FMT yang Malaysia mungkin hilang peluang kepada Thailand untuk menganjurkan acara itu tahun depan.
Formula E difahamkan mempelawa Kuala Lumpur menjadi penganjur untuk perlumbaan terakhir pada setiap tahun hingga 2030, tetapi kerajaan belum memberi jawapan terhadap tawaran itu.
“Formula E telah dilaporkan oleh FMT. Selepas laporan tersebut dan selepas kenyataan saya di sini. Syarikat tersebut menghubungi pejabat saya dan mengakui mereka belum berjumpa dengan kita, tetapi mereka pergi ke Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Kita akan adakan satu mesyuarat…berjumpa dengan mereka minggu depan bagi mendengar maklumat tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu Chong Zhemin (PH-Kampar) mempersoalkan sama ada Malaysia akan menganjurkan Formula E-Prix iaitu sukan permotoran kereta lumba elektrik tempat duduk tunggal.
Pada 13 Mac lalu, rakan kongsi tempatan Formula E mengesahkan sedang menanti maklum balas PMO untuk membincangkan penganjurannya, rentetan timbul kebimbangan acara berprestij itu mungkin “dirampas” Thailand.
CEO Sports Tech Holding, Wan Agyl Wan Hassan, berkata perancangan untuk menganjurkan final Formula E-Prix di Kuala Lumpur tahun depan “memang di peringkat lanjutan” selepas hak bersyarat diperoleh daripada Formula E, awal tahun ini.
Sementara itu, Hannah berkata menjadi kesalahan bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 jika mana-mana pihak membuat tawaran atau menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah atau apa-apa acara sukan antarabangsa di Malaysia, tanpa kelulusan bertulis menteri terlebih dahulu dan keputusannya adalah muktamad.
“Penganjuran antarabangsa ini selalunya ada pihak yang pergi bida tanpa kelulusan kerajaan, ada yang pergi bida dan kata dah dapat bida dan nak ‘claim’ untuk anjurkan.
“Jadi tidak adil untuk kerajaan kalau ada pihak pergi bida tanpa dapat kelulusan,” katanya.