
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata dalam rondaan pada Jumaat, pihaknya berjaya menahan 12 warga Indonesia termasuk dua tekong berusia antara 25 hingga 50 tahun dengan semua mereka sedang dalam perjalanan menuju ke Pulau Batam, Indonesia.
“Ketika anggota Unit Marin Bahagian Penguat Kuasa Kastam sedang menjalankan rondaan di kawasan laut perairan Tanjung Pelepas, pada 2 pagi, Jumaat lepas telah mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap semua penumpang bot berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, malah dokumen perjalanan juga telah tamat tempoh,” katanya menurut Bernama.
Beliau yakin akan berlaku pertambahan bilangan jumlah pendatang asing keluar meninggalkan negara ini dalam waktu terdekat.
Aminul berkata, dua tekong direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, manakala 10 orang pula diserahkan kepada imigresen, selain menahan bot fiber beserta enjin dianggarkan bernilai RM42,000.
Sementara itu, katanya kastam Johor merampas 21.7 juta batang rokok dianggarkan RM18.3 juta termasuk cukai, dalam dua pemeriksaan berasingan di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 4 dan 13 Mac.
Beliau berkata, rokok yang cuba diseludup dalam dua kontena itu, dipercayai sedang dalam perjalanan ke destinasi akhir iaitu Mexico.
“Usaha mengesan pemilik barangan dagangan berkenaan sedang dilakukan. Modus operandi sindiket ini dengan meletakkan 160 kotak berisi permainan plastik kanak-kanak di bahagian depan kontena, bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Rokok-rokok yang diseludup pula diletakkan di bahagian belakang. Semasa pemeriksaan teliti dibuat, pegawai mendapati rokok ini tidak diikrarkan,” katanya.
Pihaknya turut merampas 69,360 tin minuman keras pelbagai jenama, bersamaan dengan 60,996 liter yang disyaki cuba diseludup dengan nilai anggaran RM1.8 juta di kawasan sama, pada 29 Jan lalu.
“Semua minuman keras ini ditemukan dalam tiga buah kontena berbeza. Modus operandi sindiket terbabit, dengan membuat pengikraran mengelirukan terhadap barangan dagangan,” katanya sambil menambah kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.