Suspek samun maut dilanggar mangsa

Suspek samun maut dilanggar mangsa

Polis berkata ketika kejadian tiga suspek cuba menyamun sebuah kereta sebelum salah seorang daripada mereka dilanggar kenderaan itu.

Ketua Polis Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata suspek samun itu maut selepas dilanggar kereta yang ingin disamunnya dalam kejadian di Kuala Kedah pagi tadi. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang lelaki maut ketika cuba menyamun sebuah kereta di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah pagi tadi.

Ketua Polis Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam kejadian 6.39 pagi itu, tiga lelaki yang menaiki dua motosikal dipercayai cuba melakukan samun terhadap sebuah kereta apabila seorang daripada mereka memukul cermin kereta di bahagian hadapan menggunakan sebatang objek sehingga pecah.

“Akibat ketakutan, pemandu kereta telah memecut keretanya.

“Semasa cuba melepaskan diri, pemandu telah melanggar salah sebuah motosikal dinaiki seorang suspek yang cuba menghalang di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata suspek samun berusia 29 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya berjaya melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

Shukri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 akta sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.