SPRM tahan 15 penjawat awam, disyaki terima rasuah lebih RM2 juta dari penyeludup

SPRM tahan 15 penjawat awam, disyaki terima rasuah lebih RM2 juta dari penyeludup

Semua suspek disyaki menerima rasuah untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain.

Semua suspek lelaki berusia antara 30-an dan 50-an ditahan pada kira-kira 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 15 lagi penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Tangkapan terhadap semua suspek itu dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Samba 2.0 yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara (BNM) sejak 11 Mac lalu.

Sumber berkata, semua suspek lelaki berusia antara 30-an dan 50-an ditahan pada kira-kira 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut antara 2017 hingga 2023.

“Semua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” kata sumber.

Katanya, SPRM turut merampas barangan seperti telefon bimbit dan membekukan akaun bank semua suspek.

Baru-baru ini, SPRM menahan reman 11 individu termasuk lima penjawat awam yang disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyeludup.

Difahamkan modus operandi sindiket tersebut termasuk menggunakan khidmat “forwarding agent” sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya.

Sindiket itu juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket itu juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan 15 suspek tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata semua individu itu akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.