
Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan berkata, syor pertama adalah agar kementerian dan Lada mengambil tindakan segera bagi memuktamadkan status tanah hotel tersebut.
Hal ini supaya perjanjian pajakan dapat diselesaikan sekali gus membolehkan Lada mengutip nilai pajakan RM3.19 juta.
Bagi syor kedua, beliau berkata, kementerian perlu mengemukakan pelan penyelamatan komprehensif Hotel St. Regis kepada PAC yang merangkumi penstrukturan semula hutang, pengurusan perhotelan dan “way forward” hotel berkenaan, selain status Tetuan Deloitte selaku Receiver and Manager (R&M).
“(Ketiga) Lada perlu meningkatkan tahap kompetensi pengurusan projek yang sedang dilaksanakan agar dapat disiapkan mengikut garis masa, kualiti dan pulangan seperti yang disasarkan,” katanya.
PAC turut mengesyorkan LADA memastikan segala perancangan pembangunan dan promosi pelancongan pada masa akan datang ditadbir urus dengan baik supaya Langkawi kekal menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Mas Ermieyati berkata, Kementerian Kewangan juga perlu lebih efektif dalam memantau dan mengawal selia syarikat-syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) supaya tidak berlaku kecuaian yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan.
“Kementerian juga perlu sentiasa memastikan syarikat–syarikat MKD mampu menjana keuntungan dan berfungsi selaras dengan asas penubuhan syarikat,” katanya.
PAC membentangkan laporannya berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi bawah Lada dan Kementerian Kewangan hari ini selepas memanggil beberapa saksi pada 30 Nov dan 13 Dis 2023.
Saksi berkenaan termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Johan Mahmood Merican, Timbalan KSP (Pelaburan) Shahrazat Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lada Wan Kamarul Faisal Wan Kamardi.
Mas Ermieyati berkata, PAC mendapati perjanjian pajakan untuk menyempurnakan hak milik tanah Hotel St Regis Langkawi antara pihak Lada dan syarikat pengendali hotel INR Sdn Bhd tidak dapat ditandatangani kerana status tanah yang diperoleh adalah “leasehold” (pegangan pajak) sedangkan syarat dalam perjanjian pemegang saham menetapkan status tanah perlu berstatus “freehold” (pegangan kekal).
Beliau berkata, lanjutan daripada perjanjian yang tidak dimeterai ini, Lada tidak dapat mengutip nilai pajakan RM660,000 setahun bagi tempoh empat tahun 10 bulan dengan jumlah nilai pajakan RM3.19 juta.
Katanya, Kementerian Kewangan merancang memulakan proses penjualan hotel itu bagi membantu menyelesaikan hutang INR Sdn Bhd kepada Bank Pembangunan, namun terdapat kesukaran mendapatkan pembeli berpotensi selagi status tanah belum selesai.
“Ketidakupayaan INR Sdn Bhd melunaskan bayaran ansuran kepada pihak bank selama 24 bulan menyebabkan isu ‘non-performing’ loan dan bertambah kritikal apabila negara dilanda krisis wabak Covid-19.
“Setakat 30 Jun 2021 tunggakan berjumlah RM27 juta,” katanya.
Bagi projek Tok Senik Resort pula, Mas Ermieyati berkata, Maju Holdings Sdn Bhd (MHSB) tidak mengambil tindakan mendaftarkan pemilikan saham Kampung Tok Senik Resort Sdn Bhd 30%, bersamaan dengan nilai RM8.3 juta, kepada Lada.
“Kecuaian Lada membenarkan MHSB mencagarkan tanah kepada Perwaja Terengganu Sdn Bhd (PTSB) mengakibatkan Lada kehilangan pemilikan tanah berkenaan,” kata Mas Ermieyati.