Mahkamah tolak permohonan Jamal batal saman KJ

Mahkamah tolak permohonan Jamal batal saman KJ

Permohonan membatalkan saman itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan ada isu yang perlu dibicarakan, kata peguam mewakili Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei tahun lepas.
PETALING JAYA:
Jamal Yunos gagal membatalkan saman difailkan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkait kenyataan ketua Umno Sungai Besar itu pada sidang media di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 Januari tahun lepas.

Shakeel Saifuzzaman yang mewakili Khairy selaku peguam berkata, Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan ada isu yang perlu dibicarakan.

“Permohonan defendan (Jamal) untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif (Khairy) ditolak dengan kos dalam kausa,” katanya selepas prosiding dalam talian hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Said menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan kes seterusnya, manakala perbicaraan dijangka pada 2026.

Mengikut notis permohonan defendan difailkan Tetuan The Law Chambers Of Fauzi & Nasser pada 19 Sept 2023, alasan membatalkan saman itu ialah kausa tindakan plaintif tidak jelas.

Selain itu, tuntutan plaintif terhadap defendan didakwa mengaibkan, remeh atau menyusahkan, serta tuntutan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Khairy, yang juga bekas ketua pemuda Umno, memfailkan saman fitnah terhadap Jamal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, pada PAU 2022 yang diadakan pada 14 Jan tahun lepas, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dihadiri pengamal media, serta perwakilan Umno.

Pada hari sama, katanya, Jamal memuat naik rakaman video sidang video itu bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan Umno #UmnoDuluKiniDanSelamanya” ke media sosial.

Khairy berkata, kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Jamal antaranya membawa maksud beliau pemimpin yang tiada integriti, tiada kredibiliti memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.

Khairy menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am, perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di media sosial Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina, dan agar video itu dipadamkan daripada media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.