
Loke Siew Fook berkata demikian ketika ditanya tentang suatu tinjauan oleh laman sesawang Business Financing yang meletakkan KLIA di tangga ke-8 lapangan terbang terburuk di Asia, berdasarkan purata penarafan oleh ahli perniagaan.
Laman yang berpangkalan di United Kingdom itu meletakkan KLIA bersama Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, di Emiriah Arab Bersatu.
“Kita tidak boleh ambil satu tinjauan sebagai kesimpulan. Lazimnya kita gunakan ranking KLIA daripada tinjauan yang lebih berkaliber seperti Skytrax,” katanya pada sidang media di TAR UMT.
Loke berkata banyak tinjauan diterbitkan berkenaan topik ini.
“Sesiapa sahaja boleh buat tinjauan. Kita perlu tanya apa sumber-sumbernya. Kita bukanya mahu defensif. Kita sedar ada kelemahan di Terminal 1. Kita mahu tambah baik,” katanya.
“Kita lapang dada terima sebarang ulasan negatif sebagai dorongan untuk pembaikan,” tambahnya.
Loke berkata ada dua projek besar yang sedang diusahakan untuk KLIA, seperti aerotrain yang sedang dibaik pulih dan dijangka siap penghujung tahun ini, serta sistem pengendalian bagasi yang sedang diperbaiki dan dijangka mengambil masa setahun hingga dua tahun.
“Malaysia Airports Holdings Bhd sedang mengusahakan beberapa projek untuk perbaiki suasana di terminal,” katanya.