Kes samun: Polis buru lelaki bergelar Datuk, 4 warga Afrika

Kes samun: Polis buru lelaki bergelar Datuk, 4 warga Afrika

Polis memburu lima lelaki itu yang dipercayai terbabit kes samun melibatkan kerugian RM300,000 dalam urus niaga emas di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, mangsa dikatakan membuat urus niaga membeli emas dengan suspek untuk mendapat keuntungan segera apabila harga emas naik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis memburu seorang lelaki tempatan bergelar Datuk dan empat warga Afrika dipercayai terbabit kes samun dalam urus niaga emas di sebuah pusat beli-belah di Melawati, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, mangsa 27 tahun yang juga pemilik restoran mendakwa kali pertama berurusan dengan suspek.

“Mangsa dikatakan membuat urusan beli dengan suspek untuk mendapat keuntungan segera apabila harga emas naik.

“Dalam kes ini, kami belum dapat wang yang dilarikan suspek,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, polis dilaporkan menahan tiga wanita disyaki terbabit kes samun melibatkan kerugian RM300,000 dalam urus niaga emas.

Mangsa dalam laporan polisnya mendakwa bersama rakannya membuat urus niaga jongkong emas dengan seorang wanita dan lelaki di pusat beli-belah itu pada 1 tengah hari 15 Mac lalu.

Polis berkata, tiga wanita ditahan itu ialah jurujual berusia 58, 54 dan 31 tahun, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.