
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang menghina Islam dan isu itu juga tidak boleh diselesaikan semata-mata dengan permohonan maaf.
“Tulisan Allah pada stokin, kita ambil maklum permohonan maaf. Dewan perlu tegas isunya bukan mohon maaf atau terima maaf. Kalau selesai dengan maaf negara tak perlu undang-undang.
“Isunya kerajaan perlu noktahkan penghinaan Islam. Jelas. Ada pemimpin politik disiasat kerana isu 3R tetapi kes ini belum ada tangkapan sitaan atau didakwa. Kita minta kerajaan segera bertindak,” katanya di Dewan Rakyat.
Afnan juga tidak menolak wujud ‘kartel’ tertentu dalam isu tersebut yang cuba melakukan sabotaj terhadap perpaduan dan menjadikan pihak tertentu sebagai kambing hitam.
“Ini bagi menimbulkan ketegangan kaum yang semua kita tak mahu, jangan ada pihak ada desak henti siasatan dalam isu ini. Apa sebenarnya pendirian kerajaan. Tegas dan serius dalam ambil tindakan,” katanya.