Agong murka isu stoking kalimah Allah

Agong murka isu stoking kalimah Allah

Sultan Ibrahim mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap pihak didapati bersalah dalam isu berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka dan dukacita berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka.

Sultan Ibrahim bertitah, ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja.

Seri Paduka mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap pihak didapati bersalah dalam isu berkenaan berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan atau tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titahnya di Facebook rasminya.

Sultan Ibrahim bertitah, tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titahnya.

Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus Rabu lalu apabila ia dikesan dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.

Walaupun Pengasas KK Super Mart, KK Chai, mengemukakan permohonan maaf dan kesal dengan insiden itu Sabtu lalu, isu berkenaan masih hangat diperkatakan.

Antara paling lantang bersuara Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyatakan permohonan maaf sahaja tidak mampu “menutup buku” berhubung kontroversi penjualan stoking itu.

Dua kertas siasatan dibuka selepas polis menerima 42 laporan berhubung isu berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Kes juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.

Hari ini, Xin Jian Chang Sdn Bhd, sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dari China berhubung stoking tertera kalimah Allah dibekalkan kepada KK Mart.

Syarikat berpangkalan di Johor itu berkata, pihaknya menghubungi pembekal berkaitan dan dimaklumkan bahawa stoking yang mencetuskan kontroversi itu termasuk dalam stok dibekalkan secara tidak sengaja.

Menurutnya, siasatan awal mendapati stoking itu adalah sebahagian daripada stok yang lebih besar, sebanyak 18,800 pasang, yang dipesan daripada sebuah syarikat di Wilayah Zhejiang, China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.