
Timbalan Presiden, M Saravanan, berkata perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC yang bermesyuarat hari ini.
Beliau turut memberitahu tidak akan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan nanti.
Jawatan presiden MIC kini disandang SA Vigneswaran.
“Mengikut perlembagaan MIC, tempoh presiden MIC tamat pada 25 Mei 2024. Oleh itu berdasarkan perlembagaan (parti) satu pemilihan perlu diadakan sebelum tamat tempoh presiden,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibu pejabat MIC.
Calon ingin bertanding jawatan presiden boleh menawarkan diri dengan mengisi borang diedarkan bermula hari ini, dengan seorang pencadang dan seorang penyokong diperlukan.
Saravanan berkata, ketua-ketua cawangan yang menjalankan mesyuarat tahunan pada 2024 boleh menjadi pencadang dan penyokong untuk pemilihan presiden.