KPDN Kelantan patah cubaan seludup 3 tan minyak masak

KPDN Kelantan patah cubaan seludup 3 tan minyak masak

Barang subsidi itu disimpan di rumah transit sebelum cuba diseludup keluar melalui pengkalan haram ke negara jiran.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata sejumlah 2,992kg minyak masak subsidi dirampas di Pasir Mas semalam. (Gambar Facebook KDN)
KOTA BHARU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan rampas 2,992kg minyak masak bersubsidi dan 480kg gula pasir di sebuah rumah dijadikan transit di Pasir Mas.

Pengarahnya, Azman Ismail, berkata rampasan di Kampung Jenerih 7 itu dilakukan pada 4.30 petang semalam, melalui Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

“Semua barang kawalan dijumpai di pekarangan garaj kenderaan terbuka yang dilitupi plastik hitam berhampiran rumah berkenaan telah disita. KPDN turut menyita sebuah kenderaan Proton Saga Aeroback berpendaftaran tempatan yang sarat bersama minyak masak bersubsidi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, rumah itu dipercayai dijadikan transit penyimpanan sementara minyak masak sebelum diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram, namun setakat ini tiada suspek dikesan di lokasi terlibat, dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, Azman berkata semalam KPDN Kelantan turut merampas sejumlah 150 liter petrol yang cuba diseludup, yang ditemukan di sebuah rumah yang dijadikan transit di Kampung Ketil Pengkalan Kubor, Tumpat pada 5.30 petang.

“Semua barang kawalan yang diisi dalam tong-tong yang ditemukan bersama sebuah lori jenis Mitsubishi Canter berhampiran rumah berkenaan telah disita pasukan operasi. Tiada suspek dikesan di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut akta sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.