
Bercakap kepada FMT, Sangkar yang juga ketua cabang PKR Keningau berkata beliau mengambil maklum mengenai desakan disuarakan dalam sidang media hari diketuai Sazalye Donol dari Kota Marudu.
“Saya dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) akan adakan sidang media masa terdekat, menjawab isu berbangkit (termasuk desakan meletak jawatan),” katanya yang memegang jawatan itu sejak 2022.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan 15 cabang PKR diketuai Sazalye menggesa Sangkar meletak jawatan dan berundur secara terhormat dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata kesemuanya menyatakan pendirian menolak kepimpinan serta hilang kepercayaan terhadap Sangkar melalui Akuan Bersumpah (SD).
Dakwanya, Sangkar kurang dikenali selain tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi dan gagal mengadakan program bagi memperkasakan PKR Sabah.
“Semalam semasa mesyuarat MPN, Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin meluahkan permasalahan serta kelemahan kepimpinan negeri, akhirnya meminta Sangkar meletak jawatan secara terhormat.
“Tindakan ini disusuli oleh beberapa lagi ketua cabang lain meninggalkan mesyuarat sebagai tanda protes terhadap kegagalan kepimpinannya,” katanya.
Sementara itu, Razeef berkata PKR Sabah tidak berpeluang menang PRN jika terus diterajui Sangkar.
“Tidak adil untuk rakan dalam PH kerana kita lemah kerana kepimpinan Sangkar, beliau patut cari jalan kukuhkan parti,” katanya.
Penggal kerajaan Sabah akan tamat pada Oktober 2025, tetapi Ketua Menteri Hajiji Noor memberi bayangan PRN mungkin diadakan lebih awal.