
Menurut Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan, mangsa berusia 24 tahun itu dilaporkan berminat membeli seunit telefon bimbit keluaran Apple yang kononnya dijual pada harga RM850 ketika melayari aplikasi TikTok.
Mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera di video tersebut menerusi WhatsApp sebelum membuat pembayaran sebanyak RM890 kepada akaun bank bagi harga telefon bimbit itu, berserta kos penghantaran.
Mazli berkata, mangsa seterusnya diminta membuat bayaran tambahan sebagai caj pentadbiran untuk mendapatkan telefon bimbit itu, yang dijanjikan akan dipulangkan semula .
“Mangsa kemudiannya memasukkan bayaran tambahan secara berperingkat ke dalam akaun bank sebanyak RM7,860,” katanya, lapor Harian Metro.
Tambahnya, sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih diminta membuat bayaran tambahan, namun belum menerima telefon bimbit tersebut.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran barangan yang dijual terlalu murah berbanding harga pasaran semasa.
Katanya, orang ramai juga boleh menyemak status nombor akaun melalui portal CCID jika didapati transaksi meragukan.
Dalam pada itu, katanya, menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu bermula 10 Mac hingga semalam, sebanyak 87 laporan polis diterima dengan 12 kertas siasatan dibuka, membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM111,573.
Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka membabitkan penipuan, dengan pembelian dalam talian didapati menyebabkan jumlah kerugian tertinggi, tambahnya.