Polis selamat 4 wanita warga India jadi mangsa eksploitasi

Polis selamat 4 wanita warga India jadi mangsa eksploitasi

Polis berkata mangsa ditawar kerja dalam bidang teknologi maklumat dan pembantu rumah tetapi dikurung dan dipaksa menjadi pelacur.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga India dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan ‘transporter’ atau pengangkut. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menyelamatkan empat wanita warga India dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Larkin, di sini petang semalam.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata dalam serbuan kira-kira 2.15 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita warga India berusia 36 tahun dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan ‘transporter’ atau pengangkut.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa yang berusia antara 24 hingga 39 tahun datang ke Malaysia dengan ditawarkan kerja dalam bidang teknologi maklumat dan sebagai pembantu rumah.

“Namun setibanya di negara ini, mangsa telah dikurung dan dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran RM2,300 sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil saringan air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurut Kumar kedua-duanya direman seminggu hingga Jumaat depan manakala perintah perlindungan sementara bagi semua mangsa dibenarkan selama 21 hari bermula hari ini hingga 5 April depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 55 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.