Peruncit cadang apung beras tempatan, tambah RM20 bantuan STR

Peruncit cadang apung beras tempatan, tambah RM20 bantuan STR

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera Ameer Ali Mydin yakin isu bekalan akan pulih jika beras tempatan diapung.

Ameer Ali Mydin berkata, isi rumah rata-rata guna 20kg beras sebulan dengan perbezaan harga RM20 jika beras tempatan diapung pada harga RM36.
PETALING JAYA:
Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) mencadangkan kerajaan menambah RM20 kepada setiap keluarga melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) jika beras tempatan 10kg diapungkan sehingga RM36, berbanding RM26 ketika ini.

Presidennya, Ameer Ali Mydin berkata ia mengambil kira rata-rata isi rumah menggunakan beras 20kg sebulan.

Ameer Ali Mydin.

“Satu keluarga makan nasi 20kg sahaja (sebulan). Contohnya, apabila harga beras dinaikkan daripada RM26 kepada RM36, perbezaan untuk setiap keluarga adalah RM10. Sebulan perbezaan (harga) dia adalah RM20.

“Kalau kerajaan nak bantu sejuta isi rumah, perbelanjaan daripada kerajaan baru RM20 juta manakala untuk setahun RM240 juta. Tak banyak (peruntukan) kerajaan daripada kita tak ada barang,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau yakin jika beras tempatan diapungkan, bekalan kembali stabil.

Dalam pada itu, Ameer berkata isu kekurangan beras tempatan bukan perkara baharu dan masalah itu sudah berlarutan hampir setahun.

“Harga RM26 untuk 10kg ini tidak patut kerana harga padi di pasaran adalah RM1,750 per tan. Apabila ditukarkan kepada beras, harganya akan menjadi RM35 untuk 10kg.

“Bagaimana beras nak dijual pada harga RM26 jika bekalan tiada, lebih baik tidak dikawal. Cadangan peruncit, apungkan sahaja (harga beras putih tempatan), barang akan cukup dalam pasaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.