
Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata dua agensi itu juga akan menyelaras dan mengukur pencapaiannya untuk mengesyorkan pelan tindakan kepada Majlis Ekonomi Bumiputera.
“Yang penting agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera ini tidak boleh hanya sekadar berkongres dan berkonvensyen.
“Tetapi tindakannya mesti dinilai dan dipastikan keberkesanannya supaya benar-benar bermanfaat untuk rakyat,” katanya di Facebook.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) memuktamadkan 74 resolusi dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 kumpulan KEB 2024.
Menurutnya, resolusi dan program itu telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui tiga matlamat iaitu, keadilan sosioekonomi, kemampanan negara bangsa dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
Ia termasuk cadangan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Waqaf Mara Madani, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti dinyatakan di dalam KEB 2024 yang dianjurkan pada 29 Feb hingga 2 Mac lepas.
Zahid berkata mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju supaya satu sekretariat tetap ditubuhkan di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan dipengerusikan sendiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memastikan setiap resolusi tersebut diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya.