
Dalam kejadian malam tadi, tular rakaman menyaksikan adegan provokasi seorang lelaki mencabar anggota penguat kuasa “membuka baju” untuk bergaduh dengan rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tingkah laku itu tidak menghormati Ramadan.
Ketua Polis Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata dalam kejadian 11.38 malam itu, seorang pembantu penguat kuasa MBAS sedang membuat operasi sitaan peniaga di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kejadian itu memperlihatkan dua individu terlibat dilihat menjerit-jerit terhadap penguat kuasa dan mencabar mereka untuk membuka uniform selain mengeluarkan perkataan kesat.
“Tindakan mereka seakan tidak mempedulikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang berkumandang dari Masjid Negeri Kedah, Masjid Zahir dan kegagalan mengawal emosi menyebabkan dua individu mengajak anggota penguat kuasa yang melakukan operasi sitaan itu bergaduh.
“Di dalam video itu terlihat tugas anggota MBAS itu dihalang oleh dua individu yang mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas,” katanya menurut Astro Awani.
Sumber MBAS pula berkata kawasan itu sememangnya menjadi kawasan larangan bagi sebarang aktiviti niaga yang notis berkaitan telah dipasang sejak 2022 dan diuar-uarkan di media sosial.
“Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dengan siasatan terhadapnya sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkenaan,” katanya.