Setelah 13 tahun, Orang Asli Kg Pinang rayu bantuan TNB

Setelah 13 tahun, Orang Asli Kg Pinang rayu bantuan TNB

Penduduk yang dipindahkan kerana pembinaan empangan merayu lebih pampasan dan ‘dividen minyak sawit’ yang dijanjikan.

Lokasi Kampung Pinang selepas dipindahkan lebih sedekad lalu untuk memberi laluan kepada Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai.
CAMERON HIGHLANDS:
Belasan tahun telah berlalu, namun Tok Batin Karim Akob berkata masyarakat Orang Asli di Kampung Pinang di sini masih bergelut selepas dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah empangan hidroelektrik.

Ketika itu, penduduk kampung berkenaan pasrah meninggalkan tanah warisan selepas diberi amaran bahawa Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai mampu mengakibatkan keseluruhan penempatan itu banjir.

Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai yang berkongsi sempadan dengan Empangan Susu, dibina Tenaga Nasional Bhd pada 2011.

“(Tenaga Nasional Berhad) memaklumkan mereka membina sebuah empangan. Mereka mahukan kami berpindah kerana bimbangkan keselamatan kami, khususnya jika berlaku kejadian tidak diingini memandangkan kami tinggal di kawasan hilir,” katanya kepada FMT.

Tok Batin Karim Akob.

Karim berkata bapa tirinya Akong Juntai yang ketika itu tok batin memaklumkannya komuniti mereka diberikan 20 rumah, pampasan untuk tanaman dan kubur yang terletak dalam jarak dua meter dari tebing sungai, serta elaun bulanan RM689 bagi setiap isi rumah, untuk tempoh lima tahun.

Katanya, sehabisnya tempoh lima tahun itu, pampasan sepatutnya diberi dalam bentuk “dividen” daripada buah sawit, dituai dari ladang yang akan dimaklumkan.

Bapa tiri Karim, Akong Juntai, menjadi tok batin ketika pemindahan kampung itu.

Karim mendakwa TNB membuat bayaran dalam bentuk cek yang diserahkan menerusi Jakoa kepada Pahang Orang Asli Corporation (Oraco).

“Ketika saya menemui pihak Jakoa, mereka memaklumkan kawasan ladang berkenaan telah ditetapkan, tetapi tiada kontraktor untuk membangunkannya,” katanya.

Karim berkata, pampasan wang berkenaan telah habis, dan kini mekanisme yang sepatutnya membolehkan komuniti itu meraih pendapatan juga tidak kelihatan.

9 projek hidro di Cameron Highlands

Nasib dihadapi penduduk Kampung Pinang ini antara kesukaran dihadapi pelbagai masyarakat Orang Asli dalam pada Malaysia meningkatkan bekalan hidroelektrik ke arah peralihan berterusan untuk tenaga boleh diperbaharui.

Empangan Ulu Jelai yang mengambil air dari Sungai Bertam menjana purata 372 megawatt tenaga boleh diperbaharui untuk grid kuasa TNB.

Ia antara sembilan projek hidroelektrik dilancarkan di Cameron Highlands sejak 1959, seiring komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Kampung Pinang hanya satu daripada pelbagai perkampungan Orang Asli yang terjejas. Sejak beberapa tahun ini penduduk terpaksa berdepan cabaran akibat penempatan semula, malah tidak kurang termasuk kejadian tragis.

Menurut Colin Nicholas dari Center for Orang Asli Concerns (COAC), satu puak nomad Orang Asli kehilangan 18 ahli selepas langkah pemindahan dilaksanakan bagi projek pembinaan Empangan Temenggor di Perak, gagal.

“Ramai meninggal dunia akibat penyakit, malah ada juga kejadian bot karam berlaku. Jadi beberapa kumpulan (penduduk) mula kembali ke penempatan tradisional mereka yang tidak terkesan banjir, dan membina semula kehidupan,” katanya.

Nicholas berkata, kejadian itu mengetengahkan betapa penduduk terpaksa menghadapi pelbagai isu selain kerugian dari segi ekonomi, termasuk masalah kesihatan mental.

Kehidupan di persekitaran baharu

Walaupun penduduk Kampung Pinang tiada kerja formal sebelum berpindah, Karim berkata mereka mampu menyara diri kerana begitu sebati dengan tanah warisan mereka.

“Kami menangkap katak, ikan kelah dan udang krai. Kami dapat menjual hasil tangkapan ini. Tetapi selepas berpindah ke sini, mana tempat untuk menangkap ikan? Di sini tiada sungai.

Rosli Bah Acong.

“Dan di sini tiada hutan untuk diteroka sekalipun.”

Penduduk, Rosli Bah Acong, 53, merindui aktiviti seperti pertanian tradisional seperti dilakukan mereka di penempatan asal.

“Kami hidup aman dan dapat bercucuk tanam di situ. Bila TNB memindahkan kami, kami rasa tidak senang kerana tiada tanah untuk kami bercucuk tanam di kampung baharu ini,” katanya.

Sementara itu, Karim berkata keadaan tanah yang tidak stabil menghalang mereka bertani di penempatan baharu itu.

Terus berjuang untuk pampasan

Penduduk sukar dapat bercucuk tanam disebabkan keadaan tanah yang tidak sesuai di penempatan mereka sekarang.

Karim berkata, penduduk yang kini tinggal di sepanjang Jalan Ringlet-Sungai Koyan, tiada lagi pilihan selain meminta pampasan wang tambahan daripada TNB, selain dividen minyak sawit yang dijanjikan.

“Ladang sawit itu pasti memanfaatkan penduduk kerana dapat meraih wang daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata komuniti itu menulis kepada TNB dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada 2017 berhubung isu berkenaan, tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

“Kami berharap TNB akan membantu kami. Kami dengan rendah diri meminta mereka menghitung semula pampasan untuk dibayar kepada kami, disebabkan begitu banyak kesukaran yang kini kami hadapi,” katanya.

FMT telah menghubungi TNB, Jakoa Pahang dan Oraco untuk ulasan.

Kisah ini sebahagian daripada program mentor balai berita Macaranga mengenai peralihan tenaga adil, dan disokong Macaranga dan Klima Action Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.