Kuasa ketiga ada pada Syed Saddiq bukan Muda, kata Wan Fayhsal

Kuasa ketiga ada pada Syed Saddiq bukan Muda, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu berkata Muda tidak boleh dipisahkan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman walaupun parti itu cuba menyatakan mereka adalah kuasa ketiga.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pendirian Muda berhubung penyertaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam jelajah PN hanya akan merugikan parti itu.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muda tidak mempunyai kuasa blok ketiga sebaliknya ia dimiliki bekas presiden parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, Muda tidak boleh dipisahkan daripada Syed Saddiq walaupun parti itu cuba menyatakan mereka adalah kuasa ketiga.

“Kalau Muda ini ‘tidak menentu’, dan kalau saya boleh ingatkan, Muda tak boleh dipisahkan dengan Syed Saddiq walaupun mereka cuba ingin katakan mereka kuasa ketiga, tapi kuasa ketiga itu nilainya pada Syed Saddiq. Bagi saya Muda bukan kuasa ketiga yang diharapkan.

“Saya harap mereka dapat buktikan saya salah dengan melahirkan ramai tokoh dan pejuang setaraf Syed Saddiq. Selamat maju jaya buat Muda,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas keputusan Muda yang komited untuk berfungsi sebagai “blok ketiga di dalam dan di luar Parlimen” dan akan terus menjadi semak dan imbang kepada kedua-dua blok utama dalam politik Malaysia.

Muda turut berkata parti itu akan terus menjadi suara rakyat yang menekankan isu seperti kos sara hidup, peruntukan adil untuk semua Ahli Parlimen dan reformasi institusi yang masih tidak terlaksana.

Kenyataan itu hadir selepas timbul tanda tanya mengenai Syed Saddiq mengambil bahagian dalam jelajah bersama Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Wan Fayhsal berkata pendirian Muda berhubung penyertaan Syed Saddiq hanya akan merugikan parti, sambil menyatakan wakil rakyat tunggalnya mempunyai hubungan baik dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

“Saya pun sebagai ketua Pemuda tak ada masalah, saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersama kami untuk bercakap isu rakyat, yang ketika ini berdepan pelbagai masalah.

“Kalau Syed Saddiq nak hadir atas kapasiti Ahli Parlimen Muar atau ahli Muda bagi saya tak ada masalah. Tapi kalau parti dia tegah terlibat secara langsung saya tak boleh komen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.