
Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, didakwa sebagai pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual, iaitu petrol dan diesel, gagal mematuhi arahan pengawal bekalan dengan menjual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada kenderaan berkenaan, melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan (Arah Utara) di Rawang, Selangor pada 9.16 pagi, 1 Jan lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Untuk kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin menetapkan 26 April ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Siti Fatimah Hannah Abd Wahab dan Pegawai Pendakwa KPDN Nor Wahidah Muhammad manakala Mohammad Naziruddin diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili.