
Presidennya, William Ng berkata gaji minimum perlu digunakan secara berhati-hati bagi meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah.
“Apabila kenaikan gaji dilakukan tanpa kesepadanan dalam produktiviti atau margin perniagaan, ia akan menjejaskan prospek kenaikan pangkat pekerja yang lebih produktif.
“…dan akan memesongkan pasaran buruh kerana peniaga terpaksa mengurangkan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberi contoh di Pulau Pinang dan Kulim, lebih daripada 50,000 kekosongan jawatan jurutera dan teknikal belum diisi, walaupun industri menawarkan antara RM 3,500 hingga RM 6,000 gaji bulanan.
Katanya, gaji media negara telah meningkat 73% daripada RM1,500 pada 2010 kepada RM2,600 pada 2023, bagaimanapun faktor seperti kejatuhan nilai mata wang menyebabkan ramai pekerja berkemahiran meninggal negara.
“Kedudukan kita yang berdekatan dengan Singapura dan nilai ringgit menyebabkan ramai pekerja terlatih dan berkemahiran tinggi meninggalkan negara.
“Nilai RM 1,500 pada 2010 akan memberi anda S$635 tetapi menjelang 2023, nilai RM 2,600 itu hanya bernilai S$765 atau kenaikan terkumpul sebanyak 20% sahaja sedangkan pada hakikatnya, pihak industri telah meningkatkan gaji secara berterusan sebanyak 73%,” katanya.
Beliau menegaskan Dasar Gaji Progresif merupakan kaedah lebih baik untuk menyelaraskan kenaikan gaji dengan produktiviti dan kemahiran.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengumumkan kerajaan akan menyemak kadar gaji minimum tahun ini, sejajar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Pengumuman itu dibuat selepas gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Rabu, untuk kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum susulan kenaikan 2% cukai perkhidmatan.
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor, berkata ini kerana gaji minimum RM1,500 akan genap dua tahun pada 1 Mei 2024.
Beliau mengambil maklum Akta Majlis Perundingan Gaji Negara memberi mandat kepada jawatankuasa teknikal majlis itu untuk mengkaji semula gaji minimum setiap dua tahun.