
Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 pula meningkat 5.7 mata berbanding lima tahun sebelum ini, iaitu daripada 81.24% pada 2019 kepada 86.94% pada 2024.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, indeks ini diukur menerusi kaji selidik penduduk yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bersama 144 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, kaji selidik itu mendapati 71% rakyat Malaysia mencapai tahap bahagia, manakala 29% mencapai tahap sederhana bahagia, lapor Bernama.
“Ini menunjukkan kesejahteraan rakyat negara kita terpelihara melalui perkhidmatan yang diberikan oleh PBT dan penyediaan kemudahan yang menyumbang kepada persekitaran kehidupan selesa serta kondusif,” katanya kepada media selepas melancarkan Sambutan Hari Kebahagiaan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024.
Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan disambut secara rasmi sejak 2015.
Nga berkata, keharmonian, keamanan dan masyarakat berbilang kaum menjadi kunci kejayaan negara, justeru penting bagi masyarakat mengamalkan prinsip Madani yang mengetengahkan sikap ihsan dan saling hormat-menghormati.
Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mempergiat inisiatif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seperti menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) yang komprehensif dan berdaya saing serta meningkatkan Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata.
Inisiatif lain termasuk melaksanakan Penarafan Bandar Pintar Malaysia, Operasi Pembasmian Berterusan Tapak Pelupusan Sampah Haram, Blueprint Ekonomi Kitaran, menambah baik Penyampaian Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus di PBT dan membina 100 Taman Rekreasi Awam Madani di seluruh negara.