2 pasangan warga Thai antara 6 ditahan edar ganja

2 pasangan warga Thai antara 6 ditahan edar ganja

Polis turut merampas 90.4 kg ganja dan 1.5 liter cecair ketum keseluruhan bernilai RM281,000.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan susulan penahanan enam individu termasuk dua pasangan warga Thailand yang disyaki terlibat sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dari negara jiran. (Gambar Bernama)
SUNGAI BULOH:
Dua pasangan suami isteri warga Thailand antara enam individu ditahan disyaki terlibat sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dari negara jiran dalam tangkapan berasingan Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata polis turut merampas 90.4 kg ganja dan 1.5 liter cecair ketum keseluruhan bernilai RM281,000.

Beliau berkata sindiket itu menggunakan modus operandi membawa masuk bekalan dadah menerusi keldai dadah iaitu dua lelaki warga tempatan sementara dua pasangan Thailand terbabit masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong dengan menaiki kenderaan persendirian.

“Mereka tempatkan dadah di sebuah inap desa yang disewa sebelum mengedarkannya di sekitar Lembah Klang. Hasil soal siasat, mereka dipercayai melakukan kegiatan ini dua kali pada tahun lepas dan cubaan kali ketiga ini ditumpaskan,” katanya dalam sidang media di IPD Sungai Buloh di sini hari ini.

Hussein berkata dalam tangkapan pertama, polis menahan dua keldai dadah warga tempatan di tepi jalan kawasan Subang Jaya bersama 40 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 10.4 kg.

Beliau berkata hasil soal siasat, polis melakukan serbuan di sebuah inap desa di Ampang Jaya dan merampas 50 ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 50.3 kg.

“Susulan tangkapan pertama, polis menahan dua lelaki dan dua wanita warganegara Thailand dipercayai dalang utama sindiket ini di sebuah inap desa di Balakong, Kajang bersama 1.5 liter cecair ketum,” katanya.

Menurutnya dua suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan jenayah manakala dua lelaki warga Thai didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Hussein berkata semua suspek berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun itu direman tujuh hari bermula Rabu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Alphard bernilai RM120,000 dan enam barang kemas bernilai RM33,000,” katanya.

Terdahulu, Hussein menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Sungai Buloh antara Ketua Pengurusan IPK Perak Shafa’aton Abu Bakar dan penggantinya Mohd Hafiz Muhammad Nor di IPD Sungai Buloh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.