Tiada permohonan ulasan teknikal Restoran Gua Lepak, kata JMG

Tiada permohonan ulasan teknikal Restoran Gua Lepak, kata JMG

Jabatan Mineral dan Geosains berkata, ia tidak menerima sebarang permohonan ulasan teknikal daripada pengusaha atau pihak berkuasa tempatan.

Orang ramai membangkitkan isu keselamatan dan kesan alam sekitar di Restoran Gua Lepak, Bukit Batu Caves, Selangor.
PETALING JAYA:
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan premis makanan di sebuah gua batu kapur kerana tidak dirujuk berhubung perkara itu.

Ini menyusul isu keselamatan dan kesan alam sekitar yang dibangkitkan orang ramai terhadap Restoran Gua Lepak di Bukit Batu Caves, Taman Industri Bolton, Gombak, Selangor.

Ketua Pengarah JMG, Zamri Ramli pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada pengusaha perniagaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengulas aspek teknikal terhadap cadangan atau aktiviti perniagaan di gua itu.

“Mengikut prosedur yang diamalkan dalam cadangan pembangunan fizikal, pemaju perlu membuat permohonan pemajuan kawasan tersebut kepada PBT dan PBT perlu memohon ulasan teknikal bagi permohonan cadangan pemajuan kepada JMG yang merupakan salah satu agensi teknikal negeri.

“Antara isu yang diutarakan ialah isu keselamatan pengunjung, risiko bencana geologi, pemuliharaan fosil di tapak dan status kebenaran operasi restoran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, terdapat juga risiko vandalisme, gangguan kepada biodiversiti endemik serta isu pemuliharaan dan kelestarian terhadap geotapak itu yang merupakan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark.

Katanya, sebarang pembangunan di kawasan bukit batu kapur perlu mematuhi garis panduan penentuan zon bahaya di sekitar kawasan terbabit yang dikeluarkan JMG.

The Star sebelum ini melaporkan langkah keselamatan seperti kekurangan pintu keluar kebakaran di ruang makan restoran itu yang dibuka pada Mac 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.